KUCHING, 21 Sept: Kerajaan Persekutuan mahu mencontohi kejayaan Sarawak membangunkan sumber tenaga boleh diperbaharui berasaskan hidrogen untuk dilaksanakan di Semenanjung Malaysia.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Chang Lih Kang berkata, Sarawak telah menjadi peneraju utama sektor berkenaan di Malaysia.
Sarawak bakal muncul sebagai hab hidrogen hijau serantau menjelang 2027
“Sarawak memainkan peranan penting kerana sudah berada di hadapan dalam teknologi hidrogen.
“(Sehubungan itu) kami (Kerajaan Persekutuan) ingin belajar daripada yang terbaik.
“Di sini terdapat loji hidrogen, multifuel refuelling station, Sistem Transit Aliran Automasi (ART) (berkuasa hidrogen) dan penggunaan kereta hidrogen yang masih tidak terdapat di negeri-negeri lain,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan rasmi ke Stesen Pengisian Hidrogen Bersepadu (Hydrogen Refueling Station) Petros Darul Hana, di sini, hari ini.
Sementara itu beliau memaklumkan MOSTI bakal melancarkan Pelan Hala Tuju Ekonomi dan Hidrogen (HETR) pada Oktober dan menyasarkan sumbangan kira-kira RM60 bilion kepada ekonomi negara menjelang 2030.
Katanya, Kerajaan Persekutuan yakin Sarawak mampu memberikan sumbangan besar dalam agenda hidrogen kebangsaan melalui HTER.
“Kita mahu mengembangkan usaha dalam ekonomi hidrogen dan mengarusperdanakan penggunaan teknologi hidrogen sekali gus membangunkan negara,” katanya.
Sehubungan itu, Lih Kang berharap penggunaan tenaga hidrogen ini dalam ekosistem pengangkutan negara dapat diperkasa bagi mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau.
Untuk rekod, Petros Darul Hana Multifuel Refuelling Station yang dikendalikan oleh SEDC Energy menawarkan pengisian bahan bakar konvensional, tempat mengecas kenderaan elektrik (EV) dan bakal menawarkan pengisian hidrogen.- TVS