KUCHING, 21 Sept: Seorang wanita berusia 58 tahun maut akibat kemalangan yang melibatkan sebuah motosikal dan sebuah kereta di Kilometer 63, Jalan Kuching-Sri Aman, hari ini.
Ketua Polis Daerah Serian DSP Aswandy Anis berkata dalam kejadian 6.45 pagi, suaminya yang berumur 72 tahun mengalami cedera di kepala dan tangan.
“Siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang pasangan suami isteri itu secara tiba-tiba menukar lorong dari kiri ke kanan.
“Akibat jarak yang dekat, motosikal tersebut dilanggar kereta yang dipandu lelaki berusia 31 tahun,” ujarnya menerusi kenyataan hari ini.
Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Serian untuk rawatan dan juga bedah siasat.
Bagaimanapun, pemandu kereta yang terlibat tidak mengalami kecederaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – TVS