KUCHING, 21 Sept: Sikap sesetengah Ahli Parlimen yang terjerit-jerit ketika persidangan Dewan Rakyat tidak membantu menyelesaikan pelbagai isu dihadapi rakyat.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol berkata malah sikap demikian bukan proses semak dan imbang.
“Mereka sepatutnya membahaskan isu yang dihadapi rakyat terutama situasi ekonomi selepas melalui zaman pandemik COVID-19.
“Apa yang kita lihat sekarang ini ialah serangan-serangan peribadi yang tidak membawa manfaat kepada rakyat,” katanya ketika ditemui pada Program Derma Darah anjuran Saberkas Batu Lintang di sini, hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang See Chee How.
Berbeza dengan situasi dalam Dewan Undangan Negeri Sarawak, beliau berkata proses semak dan imbang tetap ada meskipun 76 daripada 82 kerusi DUN dimenangi Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Menurutnya, pembangkang kebanyakannya matang dan berbahas tentang isu yang perlu diselesaikan.
“Ini memang baik kepada kita dalam kerajaan kerana dengan kedudukan GPS yang mempunyai kerusi banyak dalam Dewan, tidak semestinya kerajaan atau wakil rakyatnya membuat kerja sembarangan. Kita memerlukan komen dan kritikan yang membina,” jelasnya.
Menurutnya, Dewan Undangan Negeri dan Dewan Rakyat adalah institusi penting dalam proses menggubal undang-undang, polisi pentadbiran serta halatuju pembinaan negara atau negeri, justeru mereka yang dipilih rakyat menduduki institusi ini haruslah mendahului kepentingan rakyat, negara dan negeri lebih dari kepentingan peribadi dan politik.
Dalam pada itu, beliau memberi penghargaan kepada Chee How kerana menurutnya walaupun Chee How berada di kerusi pembangkang semasa persidangan DUN tapi sesi perbahasan tidak tegang sebaliknya melibatkan kritikan yang membina dan suasana soal jawab berhemah.
“Ini situasi politik di Sarawak dan jika anda bertanya mengenai politik, saya terus terang mengatakan bahawa politik di Sarawak membosankan kerana ahli politik di Sarawak tidak bermain politik sebaliknya bekerja untuk rakyat,” ujarnya. – TVS