Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayattuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan meneruskan Kembara Kenali Borneo di Miri baru - baru ini. Foto TVS.

Senator Dewan Negara zahir penghargaan rakyat Sabah dan Sarawak kepada Agong, Raja Permaisuri

ByBernama

KUALA LUMPUR, 20 Sept: Keprihatinan, sikap merendah diri dan rasa kasih diserlahkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah kepada rakyat Sabah dan Sarawak ketika jelajah Kembara Kenali Borneo mendapat perhatian Dewan Negara.

Menyifatkan keperibadian itu perlu dijadikan contoh oleh setiap pemimpin, Senator Tan Sri Anifah Aman yang berkongsi penghargaan itu berkata rakyat Sabah amat mengagumi dan rasa terharu dengan keramahan Seri Paduka Baginda berdua serta paduka anakanda yang cukup terbuka didekati rakyat jelata tanpa sebarang protokol sepanjang penjelajahan selama 11 hari itu.

“Saya mewakili rakyat Sabah, menjunjung kasih ke atas kesudian Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong serta paduka anakanda mencemar duli untuk menyantuni rakyat dan mengenali Borneo dengan lebih dekat,” katanya sebelum memulakan perbahasan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Dewan Negara hari ini.

Bekas Menteri Luar itu berharap program sedemikian dapat menjadi contoh kepada semua pihak dalam usaha mengenali dan menyantuni rakyat di Sabah dengan lebih dekat.

Mewakili rakyat Sarawak, Senator Datuk Paul Igai berkata segenap lapisan masyarakat di negeri itu amat terharu dan menghargai inisiatif Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah yang sedaya upaya mendekati, berinteraksi dan mengambil maklum balas perkara yang dibangkitkan rakyat di sepanjang penjelajahan.

Beliau berkata keazaman Seri Paduka Baginda berdua menyantuni rakyat terserlah apabila sanggup memandu sejauh 2,154 kilometer dari Tawau, Sabah hingga ke Telok Melano di selatan Sarawak termasuk merentasi Brunei dan Lebuhraya Pan Borneo dan ini mengundang rasa bangga dalam kalangan rakyat.

“Keperibadian ‘Raja untuk rakyat Malaysia’ yang diserlahkan (Seri Paduka) Baginda berdua diterjemah rakyat dengan ribuan rakyat jelata membanjiri di sepanjang jalan yang dilalui rombongan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah,” katanya.

Senator Roderick Wong Siew Lead turut mengambil kesempatan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rombongan Seri Paduka Baginda berdua dan paduka anakanda serta mereka yang menyertai Kembara Kenali Borneo.

Menyifatkan jelajah itu sebagai amat bermakna kepada rakyat Sarawak, beliau juga menzahirkan harapan dan yakin Al-Sultan Abdullah akan memberi perhatian terhadap perkara yang dikongsikan rakyat khususnya berkaitan kemudahan infrastruktur asas di luar lingkungan Lebuhraya Pan Borneo.

Program Kembara Kenali Borneo yang julung kali diadakan bermula di Tawau, Sabah pada 3 Sept lepas dan melabuhkan tirai di Telok Melano, Sarawak pada 13 Sept.

Jelajah yang melibatkan perjalanan sejauh 2,154 kilometer menelusuri Lebuhraya Pan Borneo menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei mendapat sambutan luar biasa daripada rakyat di kedua-dua negeri berkenaan. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan