MIRI, 20 Sept: Sebuah rumah kosong dua tingkat di Kampung Lopeng Tengah dekat sini musnah gara-gara longgokan sampah di dalam rumah berkenaan terbakar semula semalam.
Pada awalnya, kebakaran bermula jam 6.45 petang itu berjaya dipadamkan oleh beberapa orang jiran.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng, Timbalan Pegawai Bimba (TpgB) Mohd Hamdani Madon berkata, pihaknya menerima panggilan pertama berhubung kejadian pada jam 6.55 petang Selasa.
Beliau berkata, seramai 13 pegawai dan anggota bersama sebuah jentera FRT dan sebuah EMRS dikejarkan ke lokasi bagi memadamkan kebakaran.
“Sebaik tiba di lokasi, kita mendapati hanya kebakaran longgokan sampah di dalam rumah.
“Namun kebakaran itu berjaya dipadamkan sendiri oleh jiran dan penduduk kampung berkenaan rumah sebelum pasukan bomba tiba di lokasi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Katanya, tiada operasi pemadaman dijalankan dalam operasi pertama.
Menurutnya, pihaknya sekali lagi menerima panggilan kedua memaklumkan kebakaran berlaku semula di rumah yang sama pada jam 10.31 malam.
“Apabila pasukan keluaran operasi tiba di lokasi kejadian, pihak kami mendapati rumah dua tingkat separuh kekal berkeluasan 30 kali 40 kaki persegi itu telah terbakar 80 peratus,” katanya.
Mohd Hamdani berkata, tindakan mengawal dan memadam kebakaran terus dilakukan menggunakan dua aliran nozel 300 kaki menggunakan sumber air dari tangki pam jentera dan pili bomba berhampiran sehingga kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya.
Katanya, operasi pemadaman ditamatkan pada jam 12. 25 tengah malam.
Tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut, punca kejadian masih dalam siasatan. -TVS