Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Abdul Rasheed Ghaffour. Foto: Bernama.

Orientasi semula keutamaan pelaburan untuk capai SDG pada 2030 – Gabenor BNM

ByBernama

KUALA LUMPUR, 19 Sept: Melaksanakan perubahan pada kepantasan dan skala yang diperlukan untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) menjelang 2030 memerlukan orientasi semula keutamaan pelaburan agar sejajar dengan prinsip lebih mampan dan berasaskan nilai dalam sektor kewangan, kata Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Abdul Rasheed Ghaffour.

Beliau berkata sektor kewangan berperanan penting untuk menyokong transformasi ekonomi yang mampan.

“Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menjangka wujud jurang pembiayaan yang ketara bagi pelaburan tahunan global kira-kira US$4.3 trilion ke arah mencapai SDG,” katanya dalam ucap tama pada Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur (KLIFF) 2023 di sini hari ini.

Meskipun jumlah itu mungkin dilihat besar, beliau berkata ini hanya bersamaan kira-kira satu peratus daripada US$379 trilion jumlah aset kewangan yang dipegang oleh bank, pelabur institusi dan pengurus aset.

“Saranan untuk kewangan Islam beralih daripada ‘halal’ kepada ‘thoyyib’ sebagai antara pemacu utama kerangka ekonomi, selari dengan nilai asas Syariah yang menyokong kewangan Islam adalah tepat pada masanya,” katanya.

Abdul Rasheed berkata matlamat untuk mengintegrasikan penciptaan kekayaan yang seimbang dengan pindahan dan edaran kekayaan, pada asasnya berupaya mendorong institusi kewangan Islam untuk giat melaksanakan orientasi semula dan mempermudah peruntukan sumber kewangan yang lebih saksama bagi kegunaan yang produktif dan mampan.

“Langkah ini kemudiannya akan meningkatkan aktiviti ekonomi yang produktif dan menyokong transformasi Malaysia untuk muncul sebagai negara berpendapatan tinggi, mengecilkan jurang ekonomi dan menggalakkan ekuiti antara generasi,” katanya.

Beliau berkata Malaysia juga tidak terlepas daripada cabaran besar dalam usaha untuk menjadi negara lebih progresif dan mampan serta berdepan pelbagai rintangan antaranya inflasi tinggi dan perdagangan global yang menyederhana.

“Ekonomi Malaysia terus memperlihatkan daya tahan terhadap kejutan ini dan negara telah bangkit semula daripada pandemik,” katanya.

Abdul Rasheed berkata, pada asasnya, pertumbuhan ekonomi negara disokong oleh struktur ekonomi yang pelbagai termasuk pasaran eksport dan produknya serta keadaan pasaran buruh yang menggalakkan, sekali gus terus mendorong penggunaan — sebagai enjin utama pertumbuhan Malaysia.

Sementara itu, Abdul Rasheed turut melancarkan myWakaf 2.0, instrumen ekonomi inklusif yang diperkenalkan oleh Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) berdasarkan nilai bersifat dermawan.

Beliau turut memuji usaha industri untuk menambah baik inisiatif myWakaf menerusi tambahan penyertaan daripada bank-bank Islam dan Majlis Agama Islam Negeri di bawah myWakaf 2.0.

“Dengan tumpuan yang lebih mendalam terhadap pemerkasaan komuniti dan ekonomi serta kaedah pemantauan yang lebih selaras, myWakaf mempunyai potensi penting untuk mendorong pembangunan sosioekonomi negara,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan