Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Masjid Al-Aqsa. Foto: Envato

Malaysia kutuk keras serbuan di Masjid Al-Aqsa, serangan ke atas penduduk Palestin

ByBernama

PUTRAJAYA, 20 Sept: Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serbuan di Masjid Al-Aqsa oleh ekstremis Israel pada Ahad (17 Sept), yang juga menyerang umat Islam Palestin di salah satu pintu masuk ke perkarangan masjid di Baitulmaqdis Timur.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, serangan terhadap jemaah merupakan tindakan provokasi yang disengajakan dan pencabulan terang-terangan terhadap kesucian tempat-tempat suci, yang jelas bertujuan untuk mencabar status sejarah dan undang-undang Baitulmaqdis dan Al-Haram Al-Sharif.

“Malaysia oleh itu, menyeru Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk memenuhi tanggungjawab yang diamanahkan untuk memastikan rejim Israel bertanggungjawab atas tindakan keganasan berterusan terhadap kemanusiaan dan secara terang-terangan mengabaikan prinsip undang-undang antarabangsa yang tidak terkira banyaknya.

“Semua tindakan provokasi dan keganasan mesti dihentikan segera demi keamanan dan keselamatan. Seharusnya tiada layanan yang tidak seimbang dalam menangani konflik,” menurutnya dalam kenyataan itu.

Malaysia kecam pencerobohan Masjid Al-Aqsa diketuai Menteri Keselamatan Israel

Komuniti antarabangsa tidak boleh terus mengabaikan serangan berterusan Israel dan dasar aparteid yang melanggar hak asasi, kehidupan, mata pencarian, dan maruah rakyat Palestin daripada pelbagai kepercayaan di tanah mereka sendiri.

Malaysia terus berpegang teguh dengan pendirian berprinsip kami bahawa Palestin layak memiliki negara merdeka dan berdaulat mereka sendiri berdasarkan sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya, tambah kenyataan itu.

Kejadian itu berlaku apabila pasukan keselamatan Israel mengusir jemaah dari masjid dan menghalang akses kepada penduduk Palestin yang berusia di bawah 50 tahun bagi memberi laluan kepada peneroka Israel sempena Rosh Hashanah, Tahun Baharu Yahudi, menurut laporan media antarabangsa.

Peneroka Israel yang diiringi dan dilindungi oleh peningkatan kehadiran pasukan keselamatan kemudian membuat serangan provokasi ke dalam masjid.

Banyak negara telah mengutuk tindakan provokasi itu termasuk Arab Saudi, yang mengecam serbuan masjid oleh sekumpulan ekstremis di bawah perlindungan tentera Israel, tambah laporan itu. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan