LAHAD DATU, 20 Sept: Hasrat seorang lelaki untuk menangkap ketam berakhir dengan tragedi apabila maut dibaham buaya di tepi pantai di Kampung Tanjung Batu pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner (ACP) Dr Rohan Shah Ahmad berkata, mayat lelaki warga asing berusia 23 tahun itu ditemukan pada 7.20 pagi dalam keadaan tertiarap berhampiran Pos Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Rohan memberitahu, mangsa sebelum itu keluar menangkap ketam bersama tiga rakannya di kawasan laut Kampung Tinagian, Tanjung Labian awal pagi tadi.
“Ketiga-tiga rakannya melihat mangsa dibaham buaya namun mereka tidak dapat berbuat apa-apa kerana kejadian berlaku terlalu pantas,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Menurutnya, mangsa yang bekerja di sebuah ladang kelapa sawit ditemui dengan kesan gigitan di bahagian lengan kiri dan kepala selain calar di bahagian dada.
“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Lahad Datu untuk bedah siasat,” katanya.
Katanya, ini merupakan kes pertama mangsa dibaham buaya yang direkodkan di Lahad Datu pada tahun ini.-TVSÂ