KUCHING, 20 Sept: Buat julung kali Persatuan Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri- Isteri(SABATI) dan Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) menganjurkan pertandingan Jom Polah Kuih Bulan.
Menurut Bendahari SABATI, Datin Siti Shorgayah Ahmad Zaidin, lebih 20 kumpulan melibatkan 60 peserta dari pelbagai etnik di seluruh Sarawak berhimpun untuk menyertai pertandingan itu sempena Festival Kuih Bulan yang semakin hampir dalam Kalendar Lunar bagi merapatkan hubungan silaturahim dalam masyarakat majmuk dan mengenali budaya tradisi komuniti kaum Cina.
“Objektif kita mengadakan acara ini untuk mengeratkan hubungan harmoni antara masyarakat majmuk di Sarawak dan juga kita belajar berkenaan dengan penyediaan kuih bulan.
“Peserta yang tidak tahu bagaimana hendak membuat kuih bulan sebelum ini belajar menyediakan kuih bulan dan sekarang semuanya sudah pandai membuat kuih bulan, kita juga memupuk semangat hormat menghormati dan toleransi antara pelbagai kaum dan kita hendak mengajak generasi muda turut bersama, harmoni bersama-sama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui oleh pemberita selepas Majlis Perasmian Jom Polah Kuih Bulan di Dewan Jamilah Yayasan Sarawak pada Selasa.
Tambah Shorgayah, kuih bulan merupakan simbolik perpaduan dan toleransi antara kaum di Sarawak.
“Kalau kita tengok, bebas dan harmoni menjadi tema kita pada hari ini, jadi kita kena hidup bersama-sama sebagai satu masyarakat majmuk dan berbilang bangsa dalam keadaan harmoni,” ujarnya. -TVS