JAKARTA, 19 Sept: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menghantar kapal peronda KD Terengganu pada latihan ketenteraan negara ASEAN di perairan Natuna, Indonesia.
Latihan dinamakan ASEX 01 – Natuna yang kali pertama diadakan bermula hari ini sehingga 23 September ini.
ASEAN laksana latihan ketenteraan di perairan selatan Laut China Selatan
Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Datuk Seri Mohammad Ab Rahman berkata, latihan perpaduan ini amat penting bagi menunjukkan negara ASEAN memainkan peranan dan bersatu.
“Apabila kita saling melengkapi dan belajar antara satu sama lain, ini akan mengukuhkan kebolehan dan keupayaan kita untuk mengekalkan keamanan, kemakmuran dan keselamatan di rantau ASEAN,” katanya pada majlis perasmian ASEX 01 -Natuna di sini hari ini.
ASEX -01 disertai ratusan anggota tentera dari 11 negara memulakan latihan di Selat Lampa dan Pulau Sabang Mawang, perairan Natuna.
Kawasan laut berkenaan terletak berhampiran perairan paling selatan Laut China Selatan berhampiran Barat Laut Kuching, Sarawak.
Sementara itu, Mohammad turut mengalu-alukan latihan itu kerana buat kali pertama semua negara ASEAN bersatu dalam latihan yang sebelum ini hanya dilakukan secara dua hala.
“Saya juga berharap melalui latihan ASEX-01, perpaduan dalam kalangan negara ASEAN akan sentiasa terpelihara dengan baik bagi mengekalkan pusatnya di rantau ini,” katanya.
Sekurang-kurangnya lima kapal perang dari Indonesia, Brunei, Malaysia dan Singapura dijangka belayar dari Pulau Batam ke kawasan latihan. – TVS