KUCHING, 19 Sept: Tidak ada perubahan akan dilakukan terhadap kedudukan dan susun atur kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ekoran perkembangan kerjasama antara Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Parti Demoktratik Progresif (PDP).
Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar berkata, perubahan bagi susun atur kedudukan kerusi adalah di bawah pertimbangan Speaker DUN berdasarkan perkembangan terkini Ahli DUN.
“Peraturan bersidang (di DUN) adalah atas budi bicara Speaker. Ini dikawal oleh sama ada penggabungan itu diiktiraf dan dibenarkan oleh GPS yang memerintah. Jika ia tidak dibenarkan, maka status quo kekal,” katanya pada sidang media pemakluman kekosongan kerusi DUN Jepak di sini, hari ini.
Ketika ini, GPS yang dianggotai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan PDP memegang 76 daripada 82 kerusi DUN dengan PSB mengambil tiga kerusi, DAP dua dan satu kerusi Bebas.
PSB baru-baru ini mengumumkan sokongan mereka kepada kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang memerintah dan berhasrat untuk bergabung dengan satu daripada parti komponen GPS iaitu Parti Demokratik Progresif (PDP). – TVS