LIMBANG, 19 Sept: Sukan bola sepak yang mendapat tempat di bahagian ini diaktifkan kembali dengan penganjuran Liga Limbang, Liga Belia dan Liga Veteran selepas tenggelam susulan penangan pandemik COVID-19.
Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Limbang (LFA), Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, penganjuran kejohanan sukan bola sepak di utara negeri ini amat dinanti ribuan peminat sukan bola sepak itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota itu menjelaskan penubuhan LFA memainkan peranan penting melahirkan ramai pemain berkebolehan di peringkat negeri dan kebangsaan sekali gus berjaya mengangkat martabat sukan bola sepak di utara negeri ini.
“Antara sukan yang popular di Limbang ialah bola sepak yang dianjurkan oleh LFA, sebelum COVID-19 mengadakan banyak kategori-kategori dan kita berhenti seketika tahun 2020, 2021 dan 2022.
“Pada tahun ini kita memulakan semula, kita telah mengadakan satu kategori iaitu Liga Belia, untuk pemain berumur bawah 21 tahun, Liga Veteran dan Liga Limbang,” katanya ketika ditemui media pada perlawanan akhir Bolasepak Piala Veteran di Kompleks Sukan Limbang petang semalam.
Hadir sama ialah Pegawai Daerah Limbang. Sulaiman Engal, Timbalan Presiden LFA, Frederick Lalung, Naib Presiden LFA, Bulhaji Wahab serta ahli jawatankuasa tertinggi LFA.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah menjelaskan Liga Veteran yang dianjurkan bukti jelas ramai bintang dan legenda bola sepak beraksi semula.
Sementara itu, katanya, Liga Belia satu platform terbaik untuk melahirkan bakat pemain untuk diketengahkan di peringkat tinggi memandangkan Limbang tersenarai antara pasukan terbaik di Sarawak, selain penganjuran semula Liga Limbang.
Kejohanan Liga Limbang katanya, akan bermula minggu depan dan menutup tirainya pada penghujung Oktober nanti melibatkan tiga zon, diikuti kejohanan Futsal Tertutup Liga dan Futsal Terbuka.
Beliau turut menjelaskan beberapa pemain Limbang terpilih mewakili Sarawak dalam pemilihan sukan bola sepak SUKMA tahun depan.
Pemilihan pemain-pemain dari Limbang itu dilakukan selepas pasukan Limbang menyertai Kejohanan Piala SSC-FAS B20 peringkat zon utara di Bintulu melibatkan pasukan dari Limbang, Miri dan Bintulu baru-baru ini. – TVS