KUCHING, 19 Sept: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohammad Asfia Awang Nasar dijangka mengumumkan kekosongan kerusi DUN Jepak dalam satu sidang media khas pada jam 10 pagi ini.
Kekosongan kerusi berkenaan susulan penyandangnya Allahyarham Datuk Talib Zulpilip telah meninggal dunia.
Talib yang menyandang kerusi DUN berkenaan selama enam penggal meninggal dunia 15 September lalu akibat komplikasi kesihatan di Pusat Perubatan Normah di Kuching.
Kematian beliau telah mengakibatkan kerusi yang diduduki beliau kosong sekali gus menjurus keperluan untuk mengadakan satu Pilihan Raya Kecil (PRK) untuk DUN berkenaan.
Kekosongan itu perlu dimaklumkan oleh Speaker kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membolehkan satu mesyuarat diadakan untuk menentukan tarikh bagi berlansungan PRK bagi DUN tersebut.
PRK tersebut harus diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tempoh pemakluman kekosongan DUN di maklumkan oleh Speaker DUN Sarawak. -TVS