KUCHING, 19 Sept: Kerajaan Sarawak akan meneliti potensi untuk membekalkan tenaga ke pusat data kecerdasan buatan (AI) tahap empat yang akan dibina di sini, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau yang juga Premier Sarawak berkata, perkara itu merujuk kepada perancangan syarikat Global Resources Management (GRM) Sdn Bhd dan GRM Digital Solutions Sdn Bhd untuk menubuhkan empat pusat data, masing-masing di Sarawak, Semenanjung Malaysia dan Singapura.
“Untuk menubuhkan pusat data tahap empat, tentunya memerlukan bekalan tenaga.Tanpa sumber tenaga, pusat data tidak akan dapat beroperasi.Oleh itu, kami (Sarawak) mahu meningkatkan pengeluaran tenaga,” katanya.
Abang Johari berkata demikian ketika berucap pada Pelancaran Program Digital Transformation Via Accelerated Application di sini hari ini.
Terdahulu, Pengarah Eksekutif GRM Sdn Bhd dan GRM Digital Solutions Sdn Bhd, Sylvester Wong memaklumkan, syarikat itu dalam perancangan untuk membina empat pusat data pelayan AI pengkomputeran tinggi.
Sementara itu, Abang Johari memberitahu, Sarawak berupaya menghasilkan sehingga 20,000 MW tenaga hidro sekiranya menggunakan pendekatan berbeza untuk meningkatkan pengeluaran tenaga termasuk dengan pembinaan empangan melata di sungai di seluruh wilayahnya.
Abang Johari berkata, ini berdasarkan kejayaan Tasmania, Australia serta Sweden yang berupaya menjana sehingga 45,000 MW melalui empangan melata dan kemudiannya dieksport ke Eropah.
“Saya telah memaklumkan kepada Perdana Menteri dan Kabinet Kerajaan Persekutuan bahawa kita mampu menghasilkan 20,000 MW tenaga hidro tanpa perlu menenggelamkan sebahagian besar kawasan darat,” katanya.
Menurut Abang Johari, Sarawak mempunyai banyak sungai yang boleh dimanfaatkan untuk tujuan itu selain rakyat kini tidak lagi menggunakannya sebagai laluan pengangkutan utama kerana mempunyai akses jalan yang baik.
“Jadi, mungkin ini merupakan salah satu cara untuk membina empangan melata di sungai kita,” katanya. – TVS