KUCHING, 19 Sept: Ordinan Tafsiran (Pindaan 2022) yang mengiktiraf status sebagai anak jati Sarawak bagi kelahiran hasil perkahwinan campur rakyat negeri ini akan mula berkuat kuasa pada 1 November 2023.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, Kerajaan Sarawak telah menentukan kriteria seseorang itu diiktiraf sebagai anak jatinya.
“Terdapat tiga syarat untuk diiktiraf sebagai anak jati Sarawak iaitu seseorang itu mestilah warganegara Malaysia, anak kandung kepada anak jati Sarawak dan salah seorang daripada ibu bapa adalah anak jati Sarawak selaras dengan Ordinan Tafsiran (Pindaan) 2022,” katanya.
Beliau berkata pada sidang media pengumuman tarikh penguatkuasaan ordinan berkenaan di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini.
Sehubungan itu Sharifah Hasidah berkata, anak-anak perkahwinan campur kini diiktiraf sebagai anak jati Sarawak mengikut ordinan itu.
Sementara itu beliau memberitahu, permohonan pengiktirafan anak jati Sarawak boleh dilakukan dengan mengisi borang di pejabat daerah di Sarawak dengan bayaran RM100 bagi setiap permohonan.
Jelasnya lagi, satu jawatankuasa diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki bakal ditubuhkan untuk meneliti dan meluluskan permohonan berkenaan.
“Ordinan Tafsiran (Pindaan) 2022 ini penting kerana ia dapat menyelesaikan masalah mengenai anak yang dilahirkan hasil perkahwinan ibu bapa anak jati Sarawak dengan bukan anak jati Sarawak dalam bidang pewarisan dan pemindahan tanah asal, permohonan bantuan bagi kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan sebagainya,” katanya. – TVS