Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Bekas pekerja sebuah restoran nasi kandar didenda RM20,000 di Mahkamah Sesyen di Butterworth hari ini selepas didapati bersalah menipu anak lelaki pemilik restoran nasi kandar sebanyak RM50,000. Foto: TVS

Didenda RM20,000 kerana tipu majikan RM50,000

BUTTERWORTH, 19 Sept: Seorang bekas pekerja sebuah kedai nasi kandar didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah menipu majikannya pada Oktober tahun lalu.

Tertuduh, Jalil Ahmad Mohd Adam, 53, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa menipu seorang lelaki berusia 22 tahun sebanyak RM50,000 untuk mendapatkan lesen perniagaan daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di The Summer Place, Lebuh Sungai Pinang di George Town antara pukul 2 petang hingga 4.05 petang pada 17 Oktober 2022.

Dia membuat pengakuan itu mengikut pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Azura Zulkiflee dan Afiq Liyana Rozman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh sebelum itu memohon hukuman diringankan dengan alasan dia kini tidak bekerja dan hanya disara oleh dua orang anaknya.

Noor Azura bagaimanapun memohon hukuman berat berbentuk pengajaran kerana ia merupakan kesalahan serius yang kerap berlaku supaya menjadi pengajaran kepada masyarakat.

Sekiranya tertuduh gagal membayar denda, mahkamah memerintahkan dia dipenjara selama enam bulan.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang ketika itu bekerja sebagai pembantu di bahagian dapur telah memperdaya anak pemilik kedai nasi kandar warisan yang beroperasi sejak 1940-an itu dalam urusan mendapatkan lesen perniagaan dengan MBPP.

Tertuduh mendakwa sebahagian wang RM50,000 itu akan diberikan kepada pegawai di bahagian pelesanan untuk memudahkan urusan tersebut. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan