KUCHING, 19 Sept: Amerika Syarikat (AS) dan Sarawak telah mengadakan perbincangan awal untuk bekerjasama dalam industri penghasilan bahan api penerbangan mampan (SAF) berasaskan alga.
Kuasa Usaha Kedutaan AS, Manu Bhalla berkata, perkara itu dilakukan sempena lawatan kerjanya selama lima hari ke Sarawak yang berakhir hari ini.
“Perbincangan membabitkan Jabatan Tenaga AS dengan Pusat Biodiversiti Sarawak mengenai potensi penggunaan alga sebagai bahan api pada masa hadapan.
“Itu merupakan kerjasama yang kami sedang pertimbangkan dan lihat jika boleh melakukan rangkaian kerjasama yang betul untuk merangsang objektif tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui TVS semasa melakukan lawatan kerja di Pusat Biodiversiti Sarawak di sini, hari ini.
Sarawak kini miliki loji jana kuasa alga terbesar di dunia – Abang Johari
Mengulas mengenai kerjasama bidang pendidikan pula, Bhalla berkata, pihaknya sentiasa terbuka dan melihat ia sebagai elemen penting dalam memperkukuhkan lagi hubungan negara itu dengan Malaysia.
“Tidak dinafikan hubungan rakyat dengan rakyat dan pertukaran pendidikan menjadi asas kepada hubungan dua hala AS dan Malaysia.
“Setiap interaksi antara warga kedua – dua negara mewujudkan hubungan yang mendalam dan berkekalan,” ujarnya.
Beliau memberi contoh, kerjasama dengan Kerajaan Sarawak dilakukan menerusi program tajaan pendidikan ke Instititut Harvard Kennedy.
“Ini telah membuka ruang kepada pemimpin tempatan yang layak menyertainya dan seterusnya membuka ruang kerjasama antara mereka dan warga pendidik di sana,” katanya. –
Sarawak kini miliki loji jana kuasa alga terbesar di dunia – Abang Johari