KUALA LUMPUR, 18 Sept: Kerajaan terus berusaha dalam mendepani ancaman Kesatuan Eropah (EU) terhadap minyak sawit bagi melindungi kepentingan industri berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata EU perlu mengiktiraf Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) sebagai syarat utama dalam pematuhan Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR).
“Bagi menunjukkan komitmen Malaysia untuk menghasilkan minyak sawit mengikut prinsip dan kriteria mampan di bawah MSPO, Kementerian Perladangan dan Komoditi melalui Majlis Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MPOCC) sedang menambah baik pensijilan tersebut melalui MSPO 2.0,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 di Dewan Rakyat, hari ini.
Fadillah berkata usaha menjaga kepentingan industri sawit juga melibatkan pelbagai kementerian dan agensi.
Beliau sebelum ini juga telah mempengerusikan Mesyuarat Koordinasi Kluster Ekonomi Minyak Sawit yang antara lain turut melibatkan Kementerian Luar Negeri (KLN) dan Kementerian Pelaburan dan Perdagangan Antarabangsa (MITI).
“(Ini) bagi menggerakkan usaha menangani sebarang ancaman terhadap komoditi negara terutama minyak sawit secara strategik,” katanya.
Sebelum ini, pemimpin EU bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa khas serta sesi dialog untuk memudah cara pelaksanaan EUDR dan telah bersdang pada 4 Ogos 2023 di Jakarta.
Jawatankuasa khas tersebut dijangka bersidang kembali pada 4 Disember 2023 di Malaysia.
Malaysia bersama 16 negara pengeluar agrikomoditi yang lain juga telah mengemukakan bantahan secara bertulis kepada EU berhubung diskriminasi EUDR melalui surat yang telah ditandatangani oleh perwakilan masing-masing pada 7 September lalu. – TVS