KUCHING, 18 Sept: TVS tidak akan menyiarkan konsert ‘Borneo Sonic Music Festival’ secara langsung.
Pengarah Urusan BME International Sdn Bhd, Steven Au menegaskan, TVS merupakan rakan media rasmi untuk mempromosi festival muzik berkenaan.
“Ini hanyalah konsert secara langsung. Tidak akan ada penyiaran secara langsung oleh TVS atau mana-mana platform media sosial lain,” katanya ketika dihubungi TVS, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya sedang melakukan yang terbaik untuk menyelesaikan apa jua masalah yang timbul dalam memastikan Sarawak antara destinasi terbaik untuk mengadakan konsert dan festival.
“Kami ingin memastikan bahawa orang ramai, terutamanya penduduk di Sarawak akan berpuas hati untuk berada di Festival Borneo Sonic ini.
“Kami menghargai sokongan dan kesabaran anda, yakinlah bahawa kami akan terus membawa festival dan konsert pada masa hadapan.
“Kami mengucapkan terima kasih kerana memahami dan yakinlah, matlamat kami adalah untuk memastikan anda merasai pengalaman yang hebat,” ujarnya.
Sementara itu, mengulas mengenai kedudukan kategori tiket penonton, Steven berkata, pihaknya akan menyelesaikan perkara tersebut secepat mungkin.
“Susun atur yang baharu ialah penonton yang duduk akan tetap duduk di tempat yang lebih tinggi dan penonton yang berdiri akan terus berdiri.
“Kita tidak menukar, tetapi kita hanya tukar kategori dua ke tengah pentas, namun tempat duduknya berada lebih atas.
“Semua orang hampir sama kedudukannya (seperti asal). Cuma pihak kami terpaksa mengatur pentas menjadi lebih dekat ke arah tengah,” jelasnya.
Menyentuh tentang diskaun harga tiket yang diperoleh sesetengah pihak pula, beliau berkata, pihak yang menerima potongan harga adalah merupakan penaja bagi festival tersebut.
Steven berkata demikian bagi mengulas mengenai isu berkaitan perubahan tempat duduk penonton yang tular di media sosial, baru-baru ini.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web www.borneosonic.com dan media sosial Instagram dan Facebook Borneo Sonic. – TVS