KUCHING, 17 Sept: Sarawak melakar sejarah untuk Malaysia dan ASEAN apabila dipilih menjadi tuan rumah Kongres dan Pameran Air Dunia Persatuan Air Antarabangsa (IWA) pada tahun 2028.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan khabar baik itu pada Majlis Sambutan Hari Malaysia 2023 Peringkat Kebangsaan di Stadium Perpaduan, di sini, pada Sabtu.
“Saya gembira untuk mengumumkan Sarawak mencipta sejarah hari ini, Kuching telah dipilih untuk menjadi tuan rumah kepada Kongres dan Pameran Air Sedunia Persatuan Air Antarabangsa (IWA) pada 2028 selepas membida untuk acara itu di Bordeaux, Perancis.
“Kongres itu dijangka menarik 10,000 peserta dari 80 negara. Ia akan diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) yang baharu pada 2028 kelak, “ katanya semalam.
Beliau menyifatkan pemilihan Sarawak itu merupakan suatu pencapaian penting yang boleh dibanggakan oleh seluruh rakyat Malaysia.
Untuk rekod, Sarawak berjaya mendapat hak bidaan untuk menjadi tuan rumah setelah mengetepikan Brazil.
Pada Julai lalu, delegasi daripada Persatuan Air Antarabangsa (IWA) hadir ke negeri ini bagi melakukan penilaian akhir untuk dimajukan kepada jawatankuasa pemilihan.
Delegasi IWA berkenaan berada di Kuching selama beberapa hari bagi menilai kemampuan dan kesesuaian Sarawak untuk menjadi tuan rumah. – TVS