SEBUYAU, 17 Sept: Sejumlah RM10 juta diperuntukkan menerusi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi membina GiatMARA di kawasan Sebuyau.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Patinggi Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau mahu pembinaan pusat tersebut dilaksanakan segera selewat-lewatnya penghujung tahun ini.
Katanya, ia bagi memastikan anak-anak muda di kawasan berkenaan terutamanya di Kampung Sebangan mendapat latihan kemahiran seterusnya dapat memperoleh pekerjaan dengan mudah.
“Jadi saya minta Pengarah Mara dan Pengarah GiatMara memantau bagi pembinaan pusat ini.
“Saya minta disegerakan dan dimulakan pada tahun ini juga,” katanya ketika berucap pada Program Santuni Rakyat di SK Haji Bujang Sebangan di sini, hari ini.
Selain kelulusan peruntukan tersebut, Ahmad Zahid turut memberikan jaminan untuk mendapatkan peruntukan lebih besar bagi membangun dan membaik pulih sekolah-sekolah daif di Sarawak.
Katanya, bagi permohonan untuk membina bangunan sekolah baharu untuk SK Haji Bujang Sebangan akan dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar ia dapat dibina menggunakan peruntukan Perdana Menteri.
Manakala bagi SMK Sebuyau yang merupakan sekolah daif dan mempunyai hampir 1,000 pelajar, permohonan tersebut akan dipanjangkan kepada Menteri Pendidikan pada Mesyuarat Jemaah Menteri, Jumaat minggu hadapan.
Terdahulu, Menteri Utiliti dan Komunikasi, Datuk Julaihi Narawi yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau memohon agar Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan tambahan untuk menambah baik sekolah daif di kawasan Sebuyau. -TVS