KUCHING, 17 Sept: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan tambahan berjumlah RM1 bilion untuk pembangunan memajukan sempadan Sabah dan Sarawak pada Sambutan Hari Malaysia 2023 Peringkat Kebangsaan di sini, pada Sabtu.
Menurutnya Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan itu berhubung ia amat diperlukan susulan ibu negara Indonesia baharu, Nusantara, akan dibina di Kalimantan di Kepulauan Borneo.
“Jakarta telah memutuskan untuk membina ibu kota Nusantara di Kalimantan dan kita tidak mahu ketinggalan memanfaatkan kemudahan itu untuk memajukan lagi sempadan Sabah dan Sarawak.
“Untuk itu, saya luluskan tambahan daripada kelulusan projek di Sabah dan Sarawak ini sebanyak RM1 bilion lagi untuk pembangunan di sempadan.
“Pada masa sama, saya tugaskan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof untuk menyegerakan dan tidak ada alasan untuk melengahkan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo untuk diselesaikan dengan kadar yang segera daripada jangkaan yang telah ditetapkan dahulu,” katanya berucap di Stadium Perpaduan, Kuching di sini, semalam.
Dalam pada itu, Anwar juga mengulangi janji bahawa beberapa projek menaik taraf sekolah daif di seluruh negara di bawah tanggungjawab Kementerian Pendidikan (KPM) yang akan siap menjelang Oktober tahun ini.
Pada 9 Julai lalu, menterinya Fadhlina Sidek berkata penyelenggaraan dan baik pulih sekolah-sekolah daif di seluruh negara adalah menjadi keutamaan kementeriannya.
Menurutnya juga kesemua projek-projek baik pulih sekolah daif akan dipantau dan perkembangannya akan dimaklumkan dari masa ke masa.
Mengulas mengenai pembangunan Sabah dan Sarawak, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dalam temu bual khas dengan BERNAMA baru-baru ini berkata antara aspek pembangunan sempadan yang akan diberi tumpuan ialah penambahbaikan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di sepanjang sempadan utama antara Sabah, Sarawak dan Kalimantan, susulan pembangunan Nusantara, ibu negara baharu Indonesia di Kalimantan Timur.
Kementerian Kewangan sebelum ini meluluskan peruntukan tambahan RM1 bilion bagi projek menaik taraf dan membina infrastruktur yang lebih baik di sepanjang sempadan Sarawak dan Sabah, terdiri daripada 1,881km yang memisahkan Sarawak dan Sabah di Malaysia dan wilayah Kalimantan di Indonesia. – TVS