KUCHING, 17 Sept: Namanya mungkin baharu di Sarawak, namun tidak di peringkat global di mana ramai bekas pemain tenis terkenal kini beralih ke sukan Pickle Ball.
Nampak serupa seperti sukan tenis, namun Pickle Ball boleh disifatkan sebagai tenis mini. Gelanggang lebih kecil, serta raketnya juga kecil berbanding tenis.
Bagi memperkenalkan sukan tersebut kepada orang ramai, Kelab Pickle Ball MUFC Sarawak telah berkolaborasi dengan Riverside Majestic Hotel mengadakan pertandingan sulungnya mulai semalam hingga hari ini.
“Melalui penyertaan hampir 100 orang di mana ia merupakan sambutan yang menggalakkan untuk kejohanan pertama, sasaran kita untuk memperkenalkan sukan ini kepada orang ramai, kita juga sedar ramai bekas pemain tenis telah beralih kepada Pickle Ball, mungkin kerana ia tidak terlalu susah serta boleh dimain oleh semua peringkat umur,” kata Pengarah Operasi Grand Margherita Hotel & Riverside Majestic Hotel, Kenny Tham.
Beliau berkata, selain mempromosikan sukan Pickle Ball sebagai salah satu gaya hidup sihat, pihaknya turut bekerjasama rapat dengan badan dan persatuan sukan sebagai inisiatif di bawah program Tanggungjawah Sosial Korporat (CSR).
Bagi jurucakap Kelab Pickle Ball MUFC Sarawak, Ariffin Kiple, ia merupakan langkah permulaan kerjasama dua pihak dalam menjayakan kejohanan pertama.
“Kolaborasi ini boleh disifatkan sebagai batu loncatan kepada permulaan bagi lebih banyak pertandingan pada masa akan datang.
“Kita harap lebih ramai penyertaan pada masa akan datang seperti yang saudara Kenny beritahu, Pickle Ball adalan sukan yang boleh dimain oleh semua peringkat umur dan lapisan masyarakat,” katanya.
Sementara itu, hadir merasmikan penutupan pertandingan tersebut Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol optimis sukan itu mampu berkembang di Sarawak.
Menurutnya, ia selari dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan Sarawak sebagai salah satu kuasa sukan di Malaysia.
“Saya harap sukan ini akan berkembang dan kita memeriahkan lagi Bumi Kenyalang ini dengan pelbagai aktiviti sukan seperti yang dimaklum oleh pemimpin kita supaya Sarawak menjadi pusat aktiviti sukan yang aktif selain aktiviti sosial lain.
“Saya harap peminat Pickle Ball mula mengenali sukan ini, dan menjadikannya aktiviti sihat khususnya untuk anak muda terlibat dalam sukan ini yang juga boleh melibatkan orang yang telah berusia,” katanya.
Pada majlis penutupan itu, Abdullah turut mengumumkan sumbangan dana RM6,000 kepada Kelab Pickle Ball MUFC Sarawak. – TVS