SEBUYAU, 17 Sept: Perbincangan mengenai persediaan untuk penganjuran Kongres dan Pameran Air Sedunia Persatuan Air Antarabangsa (IWA) menjelang 2028 akan dibincang dalam masa terdekat.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Julaihi Narawi berkata, perbincangan tersebut termasuk menjadikan Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) 2 sebagai venue utama kongres berkenaan.
Katanya, pusat tersebut yang akan dibina tidak lama lagi dijangka akan siap sepenuhnya pada 2027.
“Ini merupakan pertama kali Sarawak, Malaysia dan ASEAN dipilih sebagai tuan rumah. Ini merupakan satu acara yang besar melibatkan 10,000 peserta dari seluruh dunia dari lebih 80 negara.
“Jumlah ini dijangka akan memberikan pulangan pendapatan kepada Sarawak dan juga Malaysia keseluruhannya,” katanya pada sidang media selepas Program Santuni Rakyat bersama-sama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Patinggi Dr. Ahmad Zahid Hamidi di SK Haji Bujang Sebangan, di sini hari ini.
Dalam ucapan ketika Sambutan Hari Malaysia 2023 Peringkat Kebangsaan di Stadium Perpaduan Petra Jaya semalam, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan bahawa Sarawak akan menjadi destinasi pertama di rantau ASEAN yang menjadi tuan rumah bagi penganjuran IWA.
Katanya, kejayaan menjadi tuan rumah bagi acara tersebut merupakan satu pencapaian penting yang harus dibanggakan oleh seluruh rakyat di negara ini.
Kejayaan Sarawak itu turut mengenepikan cabaran Brazil yang juga turut membida untuk menjadi tuan rumah bagi konvensyen berkenaan.
Majlis bidaan tersebut yang dijalankan di Bordeaux, Perancis pada 14 September lalu dilakukan oleh tiga penceramah iaitu Presiden Persatuan Air Malaysia (MWA), Dr. Mohmad Asari Daud, Pengerusi MWA Cawangan Sarawak, Kelvin Kuek, dan Ahli Majlis Persatuan Air Malaysia, Dr. Norhayati Abdullah.
Delegasi misi bidaan itu diketuai oleh Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Utiliti) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, bersama Persatuan Air Malaysia. -TVS