KUCHING, 17 Sept: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 Sarawak wajar menjadi contoh untuk dilaksanakan di negeri lain kerana ia bersifat jelas dan menyeluruh.
“Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg juga membentangkan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 yang mensasarkan Sarawak sebagai sebuah negeri berpendapatan tinggi dan memberi tumpuan kepada kelestarian alam sekitar dan keterangkuman sosial.
“Saya turut berkongsi pandangan bahawa anjakan besar yang dilaksanakan ini wajar dijadikan contoh buat negeri-negeri yang lain,” katanya menerusi perkongsian di laman rasmi Facebooknya.
Terdahulu sebelum mempengerusikan Mesyuarat Jemaah Menteri yang julung kalinya diadakan di Kuching pada Sabtu, Anwar turut mendengar taklimat daripada Abang Johari berhubung perancangan pembangunan negeri.
“Kami telah mendengar taklimat mengenai pembangunan negeri Sarawak yang telah disampaikan sendiri oleh Premier Sarawak.
“Kami dimaklumkan mengenai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negeri Sarawak telah melonjak 20 kali ganda pada tahun 2022 berbanding 60 tahun yang lalu.
Justeru, Perdana Menteri yakin melalui kerjasama rapat, kebersamaan dan komitmen semua, khususnya daripada Kerajaan Persekutuan, akan berupaya menjayakan usaha ini. – TVS