Beliau berkata, ia antara isu berkaitan Laut China Selatan yang dibincangkan semasa perjumpaannya dengan Premier China Li Qiang hari ini.
Anwar berkata, Li juga menzahirkan sokongannya terhadap ASEAN Centrality dalam menangani isu keselamatan antarabangsa di rantau ini, serta menyokong blok ASEAN yang bebas, termasuk mengenai isu perseteruan di antara Amerika Syarikat dan China.
Menurut Anwar, dalam pertemuan berkenaan, beliau turut mengutarakan mengenai situasi Myanmar dan isu penghantaran balik pelarian Rohingya.
“Premier Li telah menghuraikan konsep community for a shared future for mankind, yakni konsep yang menekankan prinsip keterbukaan, peradaban, keterangkuman, dan saling hormat-menghormati dalam menangani isu kerjasama dua hala, serantau dan antarabangsa.
“Nilai ini konsisten dengan nilai-nilai dalam Malaysia MADANI,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini sempena lawatan kerja beliau di sini untuk menghadiri China-ASEAN Expo (CAEXPO) ke-20.
Anwar juga berkata, secara amnya Malaysia menyokong nilai-nilai universal dalam membasmi kemiskinan, memperjuangkan keadilan dan pembangunan mampan. -TVS