Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, beliau telah mencadangkan pengunaan kaedah berkenaan kepada Kementerian Kewangan dan Kementerian Kerja Raya bagi menyegerakan pembinaan lebuh raya yang melibatkan jarak keseluruhan 1,492 kilometer.
Beliau yang juga penyelaras bagi projek mega berkenaan berkata, dengan melaksanakan tender secara prakelayakan, ia dapat memastikan kontraktor yang dilantik adalah diyakini, sekali gus tidak menjejaskan proses pembinaan lebuh raya itu.
“Sebab kadar perolehan kalau kita buat secara tender terbuka, ia akan mengambil masa lama terutamanya kalau tender itu masuk banyak, jadi saya telah cadangkan prequalified tender. Maknanya tender akan dibuka dengan meletakkan syarat.
“Kontraktor yang memenuhi kritera akan dikenal pasti dan sesiapa yang layak nanti baharu akan dipanggil memasuki tender yang sebenar,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Karnival Sara Hidup peringkat Sarawak di Dewan Hikmah di sini, hari ini.
Fadillah berkata demikian sebagai mengulas ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini sempena Hari Malaysia 2023 semalam, yang menugaskan Timbalan Perdana Menteri itu untuk menyegerakan pembinaan LPB daripada jangkaan tempoh yang telah ditetapkan.
Pada 20 Ogos, media melaporkan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, Fasa 1 Projek LPB Sabah yang melibatkan 15 pakej kerja, kini pada tahap 82 peratus pembinaan dan dijadual siap sepenuhnya pada Januari 2025.
Fasa 1 Projek LPB Sarawak pula melibatkan 11 pakej kerja, dengan hampir 98 peratus siap dan dijadulkan siap tahun hadapan. -TVS