Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dato Dr Mohd Na’im Mokhtar menyerahkan cenderamata kepada Pengarah Wilayah TH Sabah dan Sarawak, Nurlaila Sa’id. Foto: TVS.

Tabung Haji serah van jenazah kepada dua masjid di Sarawak

KUCHING, 16 Sept: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyerahkan dua van jenazah dan sebuah van penumpang kepada dua masjid dan sebuah pusat pendidikan di Sarawak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri(Hal Ehwal Agama), Dato Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, penyerahan itu merangkumi 25 buah van jenazah dan 15 van penumpang daripada peruntukan RM 5 juta telah disumbangkan TH di seluruh negara setakat ini.

Menurutnya dua masjid terpilih itu adalah Masjid Darul Halim, Masjid Ar-Rahmah dan pusat pendidikan Al-Fateh masing-masing terletak di Sarikei, Sibu dan Samarahan.

Beliau memberitahu sumbangan tersebut adalah sebahagian daripada program zakat TH yang bertujuan membantu institusi masjid dalam menjalankan pengurusan tanggungjawab dalam aspek fardhu kifayah untuk manfaat dan kemaslahatan kariah setempat seperti urusan pengembumian jenazah serta kemudahan pengangkutan kepada ahli kariah.

“Sudah tentu serahan yang kita buat pada pagi ini amat bertepatan dan bersesuaian dengan apa yang dihasratkan oleh YAB Perdana Menteri dalam membina gagasan masyarakat Malaysia Madani ini.

“Salah satu terasnya adalah berkaitan dengan ihsan. Ihsan ini kita sedia maklum ada sifat keprihatinan akan kesusahan dan kesukaran orang lain,” katanya pada Majlis Serahan Program Mobiliti TH 2023 di Raia Hotel dan Convention Center pada Sabtu.

Dato Dr Mohd Na’im Mokhtar menyerahkan sumbangan van jenazah kepada Ahli kariah Masjid Darul Halim semasa Majlis Serahan Program Mobiliti TH 2023 di Raia Hotel dan Convention Center pada Sabtu. Foto: TVS.

Beliau dalam pada itu berharap agar pihak pengurusan ketiga-tiga institusi berkenaan dapat menjaga dan menggunakannya dengan baik bagi manfaat semua ahli kariah,penduduk sekitar dan pelajar.

Pada masa sama, beliau turut menyeru supaya agensi-agensi agama serta badan-badan korporat yang lain turut melaksanakan inisiatif seperti program mobiliti dan program tanggungjawab sosial Koprat (CSR) yang dapat membantu golongan memerlukan.

“Dalam konteks kerjasama antara persekutuan dan negeri saya ingat dahulu masa bertemu dengan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berhubung Kerajaan Persekutuan memberikan mana-mana bantuan yang boleh diberikan kepada Sarawak.

“Maknanya dalam konteks ini keuntungan yang ada pada TH ini kita sebar luaskan.

“Kalau dulu program mobiliti ini kita mulakan disemenanjung jadi tidak salah untuk kita perluaskan ke negeri Sabah dan Sarawak,” ujarnya.

Program mobiliti merupakan program tanggungjawab sosial korporat yang diperkenalkan oleh TH sejak tahun 2016 dengan objektif untuk mempermudahkan dan melancarkan kehidupan komuniti islam, merangkumi aspek sosial dan ekonomi demi kemaslahatan ummah dalam usaha menegakkan syiar islam di negara ini.

Program Mobiliti TH yang telah dilaksanakan sejak 2016 telah memberi manfaat lebih 300,000 orang di masjid-masjid, surau, pusat tahfiz, rumah kebajikan terpilih diseluruh negara. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan