Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berjalan beriringan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memasuki Stadium Perpaduan Sambutan Hari Malaysia 2023 Peringkat Kebangsaan di Stadium Perpaduan, Kuching, malam ini. Foto: Faitullah Morni (TVS)

Sarawak tiada niat rampas hak orang lain, cuma tuntut hak sendiri – Abang Johari

ByHafeezzur Muzamir

KUCHING, 16 Sept: Tidak berniat merampas hak orang lain, Sarawak hanya menuntut hak dan keistimewaan seperti termaktub dalam Perlembagaan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), tegas Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Sarawak mungkin dituduh bersikap kedaerahan dengan beberapa tuntutan tetapi rakyat di negeri ini hanya mahu haknya (Sarawak) (dikembalikan),” kata beliau pada Majlis Sambutan Hari Malaysia 2023 Peringkat Kebangsaan di Stadium Perpaduan, di sini, malam ini.

Menurut beliau perhubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri hendaklah berdasarkan undang-undang tertinggi negara.

“Perlembagaan telah menentukan perkara-perkara di bawah bidang kuasa Persekutuan, bidang kuasa negeri dan bidang kuasa bersama.

“Namun, pembahagian kuasa tersebut tidak bermakna pihak Persekutuan dan Negeri (Sarawak) tidak boleh bekerjasama untuk kepentingan bersama,” ujarnya.

Memetik contoh, kerjasama antara Sarawak dan Petronas melalui Perjanjian Penyelesaian Secara Komersil (CSA), Abang Johari mendedahkan ia telah membuka ruang kerjasama antara kedua-dua pihak yang memberi manfaat kepada negara dan juga kepada Sarawak.

Justeru itu, Abang Johari mahu kuasa pihak Persekutuan juga boleh diturunkan kepada negeri secara pentadbiran untuk memudahkan pembangunan di peringkat negeri.

“Contohnya, penurunan 11 kuasa untuk melaksanakan projek-projek bernilai kurang daripada RM50 juta baru-baru ini dan pengiktirafan JKR Negeri dan Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri sebagai Jabatan Teknikal supaya boleh melaksanakan projek-projek infrastruktur dan kemudahan awam dengan lebih licin dan pantas, “ jelasnya.

Sementara itu, Abang Johari turut menegaskan juga undang-undang negeri yang wujud sebelum penubuhan Malaysia seperti Oil and Mining Ordinance (OMO) Sarawak yang telah digubal pada 1958 tidak pernah dibatal untuk memberi laluan kepada Petroleum Development Act 1974 (PDA 1974) tetapi terus wujud untuk mengawal pembangunan sumber minyak di Sarawak.

Abang Johari menegaskan OMO 1958 dan PDA 1974 harus wujud bersama dalam semangat perkongsian yang pintar untuk kepentingan negeri dan juga negara. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan