KUCHING, 16 Sept: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Patinggi Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengumumkan peruntukan berjumlah RM30 juta akan diserahkan kepada Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS).
Menurut beliau peruntukan terbabit bertujuan untuk menampung sebahagian kos pembiayaan untuk para perserta yang mengikuti pelbagai bidang pengajian di pusat berkenaan.
“Ia juga turut merangkumi keperluan untuk pembangunan makmal serta kemudahan bagi pembelajaran bidang baharu dan berteknologi tinggi,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan Ke CENTEXS di Kuching di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu beliau menyarankan agar Institusi pengajian Teknikal dan Vokasional (TVET) tidak bersaing antara satu sama lain sebaliknya menggalakkan pihak berkaitan berkolaboratif dalam menawarkan kemahiran dan teknologi terkini.
Saranan beliau itu bertujuan untuk memastikan sektor pendidikan berkenaan bukan sahaja dapat melahirkan graduan TVET yang berkualiti dan menepati pasaran kerjaya malah turut mengelakkan berlaku pembaziran dalam guna tenaga mahir.
Sehubungan itu beliau berharap kolaboratif antara Majlis TVET Kebangsaan dengan Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak CENTEXS bakal memberikan halauan baharu dalam usaha penyediaan guna tenaga dalam negara khususnya dalam bidang berteknologi tinggi.
Ia susulan pelaburan langsung asing yang mula dibawa oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara ini kata Ahmad Zahid lebih terarah kepada pelaburan dalam industri yang teknologi tinggi yang pastinya memerlukan guna tenaga mahir.
“Saya memberikan penghargaan kepada CENTEX dimana kita lihat kursus-kursus yang diberikan itu adalah berasaskan kepada unjuran terhadap pemintaan guna tenaga berteknologi tinggi di negara ini.
“Saya juga telah mencadangkan supaya guna tenaga dalam penyediaan perubatan robotik juga dapat disediakan disamping kursus-kursus baharu terutamanya di dalam bidang baharu yang menuju ke arah komunikasi berteknologi canggih,” katanya. -TVS