Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pengunjung mula membanjiri khemah jualan seawal 7.00 pagi bagi menikmati potongan harga antara 30 hingga 50 peratus barangan keperluan yang ditawarkan. Foto: KPDN Sarawak (FB)

Jualan Rahmah menghangatkan suasana sambutan Hari Malaysia

KUCHING, 16 Sept: Cuaca panas terik di bandar raya ini tidak menghalang orang ramai untuk berbelanja pada program Jualan Rahmah yang berlangsung di Stadium Perpaduan, di sini sempena sambutan Hari Malaysia.

Tinjauan Bernama mendapati pengunjung sudah mula membanjiri khemah jualan seawal 7.00 pagi bagi menikmati potongan harga antara 30 hingga 50 peratus barangan keperluan yang ditawarkan.

Seorang pengunjung Wan Mohd Syefrizee Wan Mohd Nordin, 38, tidak melepaskan peluang membeli barang keperluan untuk keluarganya, berkata beliau hanya berbelanja kira-kira RM70 untuk membeli telur, ayam, sabun basuh baju dan minyak masak paket.

“Memang berbaloi…sebab kalau harga asal, perbelanjaan sebegini mencecah lebih RM150 jadi saya rancang datang pada hari pertama kerana saya jangkakan hari kedua mesti lebih ramai pengunjung,” kata bapa kepada dua orang anak itu.

Berasal dari Melaka, Wan Mohd Syefrizee yang berkhidmat sebagai guru di Institut Kemahiran Mara Kuching berkata inisiatif sedemikian memberi impak positif khususnya kepada golongan yang kurang berkemampuan dan terkesan akibat kenaikan harga barang pada masa kini.

Berlangsung selama dua hari bermula Jumaat (15 Sept), program jualan itu merupakan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama pasar raya Everrise.

Program pada hari pertama bermula dari 9 pagi hingga 6 petang, manakala hari ini program bermula dari 9 pagi hingga 9.30 malam dengan tawaran pelbagai barangan keperluan asas seperti ayam, telur, minyak masak, gula dan tepung.

Bagi seorang suri rumah Lami Putit, 53, beliau berkunjung ke program jualan itu untuk dua hari berturut-turut bagi mendapatkan barangan yang sentiasa laku bak ‘pisang goreng panas’ antaranya beras, telur dan milo.

Beliau juga berharap kerajaan dapat meneruskan program Jualan Rahmah dan memperluaskan usaha itu ke kawasan luar bandar.

“Lebih bagus sekiranya program sebegini dijalankan di kampung yang penduduknya mengalami kekangan dari segi pengangkutan untuk ke bandar dan menyertai program Jualan Rahmah,” katanya menambah beliau beratur selama dua jam untuk membuat pembayaran.

Sementara itu, Ketua Seksyen Pembangunan Perdagangan Dalam Negeri KPDN Sarawak Liew Hui Chang berkata program Jualan Rahmah sempena Hari Malaysia itu menampilkan 18 barangan keperluan asas.

Beliau berkata sebagai usaha mengurangkan kos sara hidup rakyat, kementerian menyasarkan sejumlah 2,000 isi keluarga mendapat manfaat menerusi program berkenaan.

“Pada hari kedua peruntukan untuk setiap barangan adalah lebih banyak memandangkan tempoh penjualan lebih panjang. Bagaimanapun, maksimum pembelian hanya dua unit (bagi setiap barangan) untuk setiap transaksi pembayaran dibenarkan,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan