KUCHING, 16 Sept: Golongan belia menyifatkan keputusan Sarawak menjadi sebahagian daripada tiga entiti dalam pembentukan Malaysia pada 60 tahun lalu merupakan suatu langkah yang tepat dan bijak.
Tindakan pemimpin terdahulu itu juga diakui telah memberikan kemajuan dalam pelbagai aspek dan pada masa sama menyediakan kehidupan selesa untuk generasi masa kini.
Menurut Afiffah Muhaiminah Madhi, 21, penyertaan Sarawak telah menyumbang dalam mengangkat martabat Malaysia di persada dunia sehingga dikagumi dan digeruni oleh negara lain terutamanya dari aspek ekonomi dan perpaduan.
“Pada saya ia keputusan yang tepat, kalau Sarawak tidak sertai Malaysia, mungkin negeri ini tidak maju macam sekarang.
“Saya merasakan Sarawak akan lebih maju selepas ini kerana 60 tahun dalam Malaysia, pelbagai pembangunan yang kita dapat saksikan,” katanya ketika ditemui TVS ketika menghadiri Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan di Stadium Perpaduan di sini, pada Sabtu.
Turut senada, Maizurah Hamzah, 21, yang beranggapan penyertaan Sarawak itu telah memberi nilai tambah kepada negara dalam memperkukuhkan perpaduan antara rakyat disebabkan negeri ini terkenal dengan keharmonian dalam kalangan pelbagai etnik.
“Tepat sebab penyertaan Sarawak menjadikan Malaysia sebagai negara yang harmoni dengan semangat perpaduan yang tinggi.
“Kita boleh lihat Malaysia mempunyai pelbagai etnik dan mereka semua bekerjasama dengan sangat baik,” ujarnya.
Dalam pada itu, bercakap mengenai Sambutan Hari Sarawak 2023, Maizurah berkata ia merupakan hari yang perlu diraikan sebagai tanda penghargaan kepada permimpin terdahulu daripada yang telah berdepan dengan pelbagai liku rintangan ke arah pembentukan Malaysia.
“Ini yang kita perlu sama-sama raikan bagi kita mengingati pembentukan Malaysia yang berdepan pelbagai cabaran termasuk tentangan daripada Indonesia dan Filipina, yang memaksa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menghantar misi ke Borneo Utara pada 1963,” katanya. – TVS