Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pemangku Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar

Persekutuan Malaysia adalah perjanjian terbaik capai pembangunan lebih besar

ByHafeezzur Muzamir

KUCHING, 15 Sept: Sarawak sentiasa percaya bahawa Persekutuan Malaysia merupakan perjanjian terbaik untuk mencapai pembangunan yang lebih besar.

Pemangku Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar berkata, pemimpin Kerajaan Persekutuan sejak zaman bekas Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem telah mengiktiraf kepentingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang telah memberikan lebih banyak autonomi kepada Sarawak sebagai sebuah wilayah.

Persekutuan Malaysia perjanjian terbaik capai pembangunan | TVS

Menerusi perutusan bersempena perayaan Hari Malaysia 2023, Mohamad Asfia memuji kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang telah banyak berusaha untuk rundingan selanjutnya dengan Kerajaan Persekutuan agar semangat sebenar MA63 dapat direalisasikan suatu ketika nanti.

“Satu kejayaan ketara oleh Premier Sarawak berhubung MA63 ialah kejayaan kita mendapat lima peratus Cukai Jualan Negeri (SST) ke atas minyak dan gas daripada Petronas yang telah banyak membantu Sarawak membiayai keperluan prasarana dan infrastruktur utama seperti jalan raya, jambatan, air terawat, bekalan elektrik, perumahan, telekomunikasi, kesihatan, pendidikan dan kebajikan rakyat kita.

“Saya difahamkan bahawa sehingga April 2023 Sarawak telah menerima RM13.3 bilion dari SST semenjak ia dilaksanakan pada Januari 2019,” katanya.

Sehubungan itu, ujar beliau, penghargaan perlu diberikan kepada Abang Johari dan anggota kabinetnya di atas kejayaan membangunkan Sarawak untuk terus maju melalui Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 yang bertujuan memastikan Sarawak mencapai status maju menjelang 2030.

Mengulas lanjut, beliau menaruh keyakinan bahawa Wawasan 2030 melalui PCDS 2030 akan dapat dicapai memandangkan semua dasar yang diperlukan untuk mencapai wilayah maju telah digubal dan dilaksanakan.

“Saya juga yakin Sarawak mampu mencapai Wawasan 2030 kerana Sarawak telah diisytiharkan mencapai ekonomi berpendapatan tinggi oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu baru-baru ini,” ujarnya.

Asfia menjelaskan, ia sememangnya satu kejayaan dan pencapaian yang amat cemerlang untuk Sarawak dan merupakan suatu sejarah yang amat penting kerana ia bertepatan dengan sambutan perayaan Hari Malaysia pada tahun ini. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan