KUCHING, 15 Sept: Kerajaan akan terus menyokong pertumbuhan industri kreatif di Sarawak dengan menyediakan latihan, sokongan dan kemudahan fasiliti seperti pembangunan Studio Sound Stage di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) cawangan Sarawak.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata selain dilengkapi peralatan terkini, studio tersebut turut menepati piawaian antarabangsa dalam menghasilkan karya serta visual yang berkualiti tinggi.
Justeru, beliau percaya studio itu akan menjadi tempat yang penting kepada penggiat industri filem, iklan dan produksi multimedia di Sarawak.
“Kami amat mengalu-alukan semua penggiat seni kreatif untuk menjadikan studio ini rumah baru yang membuka ruang bagi mencambahkan kreativiti atau mencipta idea inovatif karya.
“Dengan adanya Studio Sound Stage ini, lebih banyak karya seni yang mencerminkan identiti negara dapat dicipta seterusnya mengharumkan nama Malaysia di pesada antarabangsa” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Seminar Fast Track: How To Be A Content Creator serta pembukaan Studio Sound Stage FINAS Sarawak, di Auditorium FINAS, di sini, hari ini.
Katanya lagi, dengan kerjasama pelbagai pihak meliputi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak, matlamat dalam memartabatkan industri perfileman tempatan dengan menyediakan latihan dan fasiliti penggambaran yang berkualiti akan menjadi realiti.
Beliau turut dibawa melawat Studio Sound Stage dan meluangkan masa kira-kira 15 minit melihat lakonan yang dipentaskan. – TVS