KUCHING, 15 Sept: Projek pembangunan Kem Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat (MK PMTTD) baharu yang dilengkapi prasarana akan dibina di Batu Kawa bermula awal tahun depan.
Panglima Medan Timur Tentera Darat (PMT TD) keenam, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Sofi Md Lepi berkata, projek itu dijangka siap pada 2027.
Pada masa sama jelas beliau, pembangunan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) yang melibatkan dua projek juga sedang dilaksanakan di Sarawak.
“Projek ini merangkumi pembinaan sebanyak 258 buah unit iaitu 190 unit di Kem Muara Tuang, Samarahan dan 68 unit di Kem RASCOM, Sibu.
“Selain itu, PMTTD juga telah menerima peruntukan khas berjumlah RM16 juta bagi kerja-kerja senggaraan RKAT dan prasarana termasuk menaik taraf Pasar Dayak di Kem Penrissen,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Berkenaan Majlis Perbarisan MK PMTTD yang berlangsung hari ini, beliau memberitahu seramai 27 orang Pegawai dan 456 orang anggota diketuai oleh Timbalan Komander Rejimen 510 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Riyadhul Fuad Shafie terlibat di padang kawad Kem Muara Tuang, Samarahan. -TVS