KUCHING, 15 Sept: Peguam Besar Sarawak, Datu Saferi Ali, hari ini mengadakan kunjungan hormat kepada Pemangku Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar.
Saferi berkata, kunjungan tersebut merupakan kunjungan hormatnya yang pertama setelah dilantik sebagai Peguam Besar Sarawak selain melakukan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, semalam.
“Tujuan (kunjungan hormat ini) adalah untuk mendapatkan nasihat dan pandangan daripada Pemangku Yang di-Pertua Negeri Sarawak setelah mengambil alih tugas Peguam Besar Sarawak daripada mantan, Dato Sri Talat Mahmood Abdul Rashid,” katanya ketika ditemui selesai melakukan kunjung hormat di Astana Negeri Sarawak, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Saferi berkata, tarikh pelantikan rasmi beliau menjadi Peguam Besar Sarawak adalah pada 7 September lepas.
Terdahulu, Saferi menjawat jawatan Timbalan Peguam Besar Sarawak.
Jawatan lama Saferi kini disandang Peguam Kanan Sarawak, Datu John Wayne Chamberlin Sirau. – TVS