KUCHING, 15 Sept: Genap setahun, bekas pemain Sarawak United FC pada musim lepas terus menanti pembayaran tunggakan gaji mereka.
Namun sehingga ke hari ini, belum ada khabar gembira untuk barisan pemain- pemain itu.
Tidak tahan dengan keadaan itu, majoriti pemain meluahkan kekesalan mereka menerusi Instagram.
Bekas pemain, S.Venod memuat naik hantaran di insta story membangkitkan kelewatan berkenaan.
“Setahun sudah, takkan nak sabar lagi? Mana janji, mana gaji,” soalnya.
Sementara itu, ketika dihubungi TVS, Venod memberitahu, ada bekas rakan sepasukannya tidak menerima gaji untuk tempoh tiga hingga empat bulan.
“(Selain itu) caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk 2020 dan 2022 juga belum diselesaikan,” katanya.
Sebelum ini pengurusan pasukan itu berjanji untuk menyelesaikan tunggakan gaji bekas pemain mereka pada Mac lepas.
Sementara itu, bekas seorang lagi bekas pemain pasukan itu, Joseph Alphonsus juga mengesahkan dia belum menerima tunggakan yang dijanjikan.
“Tunggakan gaji saya selama lima bulan masih belum dibayar walaupun mereka berjanji untuk berbuat demikian pada Mac lepas,” katanya.
Bekas penjaga gol Ngap Sayot, Tauffiq Ar Rasyid turut membangkitkan perkara itu menerusi Instagramnya.
“Setahun sudah, takkan nak sabar lagi,” tulisnya. -TVS