KUCHING, 15 Sept: Jenazah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Datuk Talib Zulpilip selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Samariang, dekat sini malam ini.
Jenazah Talib,72, sebelum itu dibawa ke Kompleks Raudhatul Sakinah Kuching (KRSK) untuk dimandi serta dikafankan sebelum solat jenazah.
Pemangku Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar dan isteri, Puan Sri Datin Amar Fatimah Iskandar dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyertai ratusan yang hadir pada upacara pengembumian tersebut.
Solat sunat jenazah dan majlis bacaan talkin dipimpin oleh Imam Besar Sarawak, Sahibul Fadilah Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi.
Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar dan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg turut menyertai solat jenazah. Foto Faitullah Morni (TVS).
Suasana hiba menyelubungi kawasan perkuburan apabila ahli keluarga Talib dilihat tidak dapat menahan sebak sebaik sahaja pengebumian selesai kira-kira 10.40 malam.
Talib, 72, yang juga bekas Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sarawak (Integriti dan Ombudsman) dilaporkan meninggal dunia pukul 6 petang tadi di Pusat Pakar Perubatan Normah.
Allahyarham dimasukkan ke pusat rawatan itu pagi semalam ekoran masalah kesihatan yang dialami.Â
Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar dilihat sebak ketika menghadiri majlis pengembumian Datuk Talib Zulpilip malam ini. Foto Faitullah Morni (TVS)
Allahyarham merupakan ADUN Jepak selama lima penggal dan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak 2021, kerusi itu berjaya dipertahankan dengan 4,243 undi majoriti.
Talib yang pernah menjadi Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SDEC) meninggalkan seorang balu, Datin Dr Zaliha Abdullah, empat anak dan empat cucu. – TVS