GEORGE TOWN, 15 Sept: Gara-gara menghisap vape di dalam kelas, seorang pelajar tingkatan lima sebuah sekolah menengah di Sungai Ara, di sini mengalami kecederaan pada mata selepas mendakwa dipukul guru semalam.
Bapa pelajar yang mahu dikenali sebagai Mazni, 47, berkata, anaknya berusia 17 tahun itu mendakwa ditangkap kerana berkelakuan sedemikian ketika guru mata pelajaran Sains sedang mengajar kira-kira pukul 12 tengah hari.
Ujar pemandu lori itu, guru tersebut kemudiannya membawa anaknya berjumpa seorang ustaz yang juga pembantu guru disiplin.
“Anak saya memberitahu, dia telah disoal siasat sebelum guru disiplin itu menuduh dia menipu dan telah bertindak merotannya.
“Rotan tersebut dikatakan terkena pada mata kanannya, sekali gus menyebabkan anak saya mengalami pendarahan pada bahagian itu,” katanya kepada pemberita hari ini.
Mazni berkata, insiden itu tidak sepatutnya berlaku apabila dia mendakwa guru berkenaan bertindak sehingga di luar batasan kerana menyebabkan kecederaan.
“Saya tahu anak saya ‘buas’ (nakal), tapi tidak sepatutnya begini (cara) untuk memberi pengajaran.
“Nasib baik dia tak buta kerana kejadian ini,” katanya lagi.
Tambah Mazni, pihak sekolah kemudiannya telah membawa anaknya ke klinik sebelum dihantar ke Hospital Balik Pulau (HBP) dekat sini untuk rawatan susulan.
“Saya difahamkan, mereka terpaksa rujuk anak saya ke Hospital Pulau Pinang pula kerana tiada pakar mata di HBP.
“Keadaan anak saya ketika ini stabil, namun memerlukan pemantauan lima hari sebelum doktor akan memutuskan rawatan lanjut,” katanya.
Ujarnya, satu laporan polis berhubung kejadian itu telah dibuat selain beliau akan berjumpa pihak sekolah hari ini. – TVS