KUCHING, 15 Sept: Penganjuran Festival What About Kuching (WAK) 2023 akan menjadikan bandar raya ini lebih menarik untuk dilawati, kata Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak berkata, pihaknya teruja untuk melihat WAK edisi kali ini menerima sambutan luar biasa seperti tahun lepas.
“Penganjuran pada 2022 mencatatkan penonton lebih 331 687 selain merekodkan 181 kandungan menarik dan 59 rakan strategik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Majlis Calendar Reveal by What About Kuching di sini hari ini.
WAK 2023 akan berlangsung pada 1 hingga 31 Oktober depan.
Sementara itu, Abdul Karim berkata, pelancong tempatan dan asing yang menghadiri WAK teruja untuk melihat kreativiti masyarakat di sini menerusi kepelbagaian muzik, tarian, sukan dan sebagainya.
“Menerusi pelbagai program dan aktiviti yang dirancang, saya percaya WAK 2023 mampu membawa Sarawak lebih ke hadapan dalam industri pelancongan,” katanya. -TVS