KUCHING, 15 Sept: Allahyarham Datuk Talib Zulpilip merupakan seorang yang gemar bersedekah, kata bekas pegawainya, Nuur Shaffique Abdul Karim.
Nuur Shaffique berkata, dia akan sentiasa mengingati pengalaman ketika berkhidmat dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak itu.
“Allahyarham seorang perfectionist dan ini secara tidak langsung turut membentuk pegawai-pegawainya supaya berwaspada melaksanakan tugas,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.
Talib, 72, dilaporkan meninggal dunia kira – kira pukul 6 petang tadi di Pusat Perubatan Normah selepas dibawa ke situ pagi semalam untuk mendapat rawatan kesihatan.
Sisi mulia Allahyarham yang lain kata Nuur Shaffique ialah pemimpin itu sentiasa membantu rakyat di kawasannya.
Nuur Shaffique berkata, dia berasa sedih kerana tidak dapat pulang ke Kuching untuk menziarahi jenazah Talib berikutan komitmen kerja di Kuala Lumpur.
Difahamkan, jenazah Talib dibawa ke Kompleks Pusara Islam Semariang untuk dikebumikan kira – kira 9 malam ini.
Talib yang juga bekas Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sarawak (Integriti dan Ombudsman)Â meninggalkan seorang balu, Datin Dr Zaliha Abdullah, empat anak dan empat cucu.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak 2021, Talib mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak dengan 4,243 undi majoriti. – TVS