KUCHING, 15 Sept: Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyeru seluruh rakyat supaya menghayati Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan yang merupakan tema sambutan Hari Malaysia tahun ini.
Premier Sarawak itu berkata, tema itu merupakan usaha mengajak seluruh rakyat menghayati erti pemikiran serta dasar pembangunan bangsa merdeka yang berjaya.
“Ia adalah suatu panggilan kepada semua rakyat Malaysia untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi berteraskan rasa hormat menghormati antara sesama insan dalam apa jua situasi yang berlaku untuk membina masa hadapan negara yang gemilang,” katanya hari ini.
Abang Johari berkata demikian menerusi perutusan Sambutan Hari Malaysia 2023 yang akan disambut esok.
Sementara itu Abang Johari berkata, semangat perpaduan dan saling menghormati antara kaum di Sarawak merupakan perkara pokok yang sentiasa diambil kira dalam pada melontarkan apa jua idea dan pandangan dalam usaha bergerak maju ke hadapan.
“Terma Segulai Sejalai pula menjadi asas bagi mewujudkan persefahaman antara satu sama lain supaya semua rakyat tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama dapat sama-sama menikmati kemajuan dan kemakmuran bumi bertuah ini,” katanya lagi.
Pada masa sama, Abang Johari turut berharap agar Malaysia terus maju dan melangkah berani ke hadapan dengan semangat kesatuan bangsa yang jitu supaya negara terus dihormati dan disegani di arena antarabangsa. – TVS