KUCHING, 13 Sept: Unit Integriti Dan Ombudsman Sarawak (UNIONS) menyasarkan seramai 16,000 orang menyertai Majlis Amanat Perdana Integriti (MAP-i) 2023 secara fizikal dan maya.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya berkata, MAP-i akan berlangsung esok di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Katanya, ini merupakan kali keempat MAP-i diadakan sejak UNIONS ditubuhkan.
“Kebiasaannya MAP-i diadakan pada awal tahun namun memandangkan kita anjurkan sambutan Sarawak Merdeka 60 tahun yang melibatkan pelbagai program, maka ia dianjak pada September,” katanya ketika ditemui TVS baru – baru ini.
Sementara itu, Juanda menambah, sehingga hujung tahun ini, pelbagai program penting berkaitan integriti akan diadakan.
“Insya – Allah pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak November ini, ordinan berkaitan dengan Ombudsman Sarawak akan dibentangkan,” katanya.
Berkenaan MAP-i, beliau memberitahu, objektif penganjuran adalah bagi mengamati amanat integriti daripada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebagai aspirasi dalam melaksanakan tanggungjawab harian.
Sementara itu beliau turut memaklumkan, pada 15 September pula, akan berlangsung Persidangan Integriti Kebangsaan (PiNK) buat kali pertama.
“Kerajaan Sarawak bukan hanya ingin rakyatnya mencapai kemajuan di peringkat pembangunan infrastruktur tetapi juga maju kemajuan aspek rohani, moral, pematuhan terhadap undang-undang serta sikap sebagai masyarakat yang maju,” katanya. – TVS