SUNGAI PETANI, 14 Sept: Penunggang dan pembonceng terkorban selepas motosikal dinaiki mereka melanggar belakang sebuah jip tentera di Kilometer (KM) 87.0 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan dekat Gurun di sini hari ini.
Kejadian pukul 2.20 petang itu membabitkan pasangan suami isteri, Ridzuan Salleh@Ramli, 41, dan Rosmawati Ismail, 39.
Ridzuan yang merupakan penunggang maut di tempat kejadian, manakala Rosmawati dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner (ACP) Zaidy Che Hassan berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal jenis Benelli TNT dari arah Alor Setar ke Butterworth ditunggang dengan laju sehingga hilang kawalan.
Katanya, motosikal itu kemudiannya melanggar bahagian belakang jip tentera jenis Isuzu D-Max yang dinaiki dua anggota dari arah sama sehingga menyebabkan motosikal terbakar di tengah jalan.
“Penunggang yang merupakan anggota tentera maut serta merta di tempat kejadian dengan kesan kecederaan melecur di bahagian badan.
“Pembonceng meninggal dunia ketika menerima rawatan di Zon Merah dan mayat kedua-duanya telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim untuk tujuan post mortem,” katanya kepada pemberita hari ini.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan. – TVS