KUCHING, 14 Sept: Cogan kata perpaduan ‘Segulai Sejalai’ dipilih sebagai lagu tema sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan pada tahun ini.
Lagu ‘Segulai Sejalai’ digubah Gabriel Fairuz Louis dan dinyanyikan beliau sendiri bersama Mal Imran dan Valerie Thiam.
Menurut Gabriel, ia melambangkan kesatuan, perpaduan serta semangat kerjasama utuh dalam kalangan rakyat Sarawak tanpa mengira bangsa dalam memupuk kesejahteraan.
“Kita di Sarawak memang sudah lama menggunakan cogan kata ‘Segulai Sejalai’ yang melambangkan kesatuan, perpaduan serta semangat kerjasama utuh dalam kalangan rakyat Sarawak tanpa mengira bangsa dalam memupuk kesejahteraan,” katanya kepada TVS, hari ini.
Katanya, beliau amat berbesar hati kerana diberi peluang sekali lagi oleh kerajaan Sarawak untuk menjadi komposer dan juga penyanyi lagu tema sambutan Hari Malaysia 2023 ‘Segulai Sejalai’ bersama dengan artis tempatan Mal Imran dan Valerie Thiam.
Sebelum ini, Gabriel juga pernah dipilih kerajaan Sarawak untuk mencipta lagu ‘Terukir Abadi’ yang dinyanyikan oleh penyanyi Bob Yusof sempena sambutan ulang tahun kelahiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada 2020. – TVS