Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Puan Malaysiawati Tazen (kiri) selepas temubual di TVS pada Khamis.

Saya bangga diberi nama Malaysiawati, sepupu saya Malaysiah

ByArrianne Jo

KUCHING, 14 Sept: Memiliki nama unik seringkali membuat seseorang itu menjadi perhatian sekiranya namanya diseru terutamanya di tempat awam.

Seorang wanita turut berdepan pengalaman itu apabila dinamakan Malaysiawati oleh ibu-bapanya.

Malaysiawati berkata, dia dilahirkan pada 31 Ogos 1968 di Kampung Hilir Rejang, Belawai.

“Orang tua saya memberi nama ini kerana ingin menunjukkan semangat patriotik mereka.

“Saya diberitahu ibu melahirkan saya ketika orang kampung sibuk berarak sempena Hari Kemerdekaan ketika itu,” katanya ketika ditemu bual TVS hari ini.

Berkongsi pengalaman apabila orang yang baharu dikenali mengetahui namanya, Malaysiawati berkata, pada awalnya kawan-kawan akan bertanya tentang kesahihan nama itu.

“Saya juga sering menerima pujian kerana nama yang dimiliki dan sebenarnya saya bersyukur dan berasa istimewa,” katanya.

Sementara itu dedah wanita ini, dia juga mempunyai seorang sepupu yang diberi nama unik iaitu Malaysiah Jaujie, yang merupakan seorang guru di Miri.

“Kami turut berkongsi tarikh lahir yang sama, iaitu 31 Ogos,” katanya.

Malaysiawati juga mempunyai beberapa kisah menarik sepanjang 55 tahun ‘membawa’ nama itu.

“Ketika saya menyertai ekspedisi mendaki Gunung Kinabalu dahulu, ada pensyarah yang hanya ingat nama saya dan setiap kali memberi semangat untuk mendaki, dia akan cakap anak merdeka, Malaysia boleh,” katanya.

Tambah wanita ini, pendakwah bebas terkenal, Ustazah Asma’ Harun juga teruja apabila mengetahui nama sebenarnya ketika mereka bertemu.

“Satu lagi pengalaman menarik ialah petugas di kaunter imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz teruja apabila melihat nama saya,” katanya.

Ditanya tentang ‘tanggungjawab’ membawa nama itu, Malaysiawati berkata, dia berasa seperti mewakili negara apabila keluar Malaysia.

“Saya rasa tanggungjawab untuk menjaga tingkah laku dan keperibadian di mana sahaja dia berada untuk menjaga nama baik negara,” katanya.

Dia juga menyatakan hasratnya untuk berbakti dan menjadi kebanggaan kepada negara walaupun telah lanjut usia.

Oleh itu, beliau mengambil bahagian sebagai Pengerusi Komuniti Sihat Pembina Negara (KOSPEN) di kampungnya.

“Tugas saya adalah memastikan kesihatan penduduk di sekitar kampung melakukan saringan kesihatan secara percuma,” katanya.

Sempena Hari Malaysia pada Sabtu ini, Malaysiawati berharap agar seluruh rakyat menjiwai sambutan berkenaan.

“Kepelbagaian di Malaysia merupakan tonggak perpaduan dan keharmonian negara yang memudahkan kemajuan negara,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan