KUCHING, 14 Sept: Penerbit Rancangan Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sarawak, Irwan Budi Annuar yang berdepan masalah kesihatan menerima bantuan Tabung Kasih @HAWANA hari ini.
Sumbangan diserahkan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang melawat Irwan Budi di kediamannya di Jalan Bako, Petra Jaya di sini hari ini.
Irwan Budi, 49, yang berkhidmat selama hampir 20 tahun dengan syarikat penyiaran negara itu berdepan masalah komplikasi buah pinggang, penyakit paru-paru selain penglihatan yang semakin kabur.
Sementara itu Fahmi berkata, Tabung Kasih@HAWANA yang diwujudkan sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 bertujuan menyantuni pengamal media, bekas petugas media dan wartawan veteran yang memerlukan bantuan.
“Ia merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dan dilaksanakan menerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sejak 14 April 2023 sebagai usaha berterusan membantu komuniti media yang berdepan dengan kesukaran dan cabaran hidup,” katanya menerusi kenyataan media sempena lawatan itu.
Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman.
Selain Irwan Budi, sumbangan Tabung Kasih@HAWANA turut disampaikan kepada bekas editor sukan New Sarawak Tribune, Juary Mesa yang menghidap strok sejak 2021.
Sumbangan disampaikan oleh Sekretariat HAWANA 2023 yang menziarahi Juary di kediamannya di Kampung Moyan Lidang, Asajaya. -TVS