KOTA KINABALU, 14 Sept: Kesemua 15 pengamal media Persatuan Penulis Bahagian Kuching (KDJA) yang memulakan pendakian ke Gunung Kinabalu pada Isnin lalu tetap bersemangat meneruskan pendakian menuju ke puncak walaupun berdepan hujan lebat dan cuaca sejuk dalam misi menawan puncak.
Disebabkan hujan lebat yang berterusan semalam, ke semua pendaki yang hampir tiba di puncak diarahkan malim gunung berpatah balik demi keselamatan semua pendaki.
Bagi pendaki kali pertama dari Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Firdaus Materang, cuaca sejuk pada satu darjah celsius benar-benar menguji daya tahan mental dan fizikal.
“Walaupun keadaan cuaca tidak mengizinkan namun saya bersyukur kerana berjaya menawan Gunung Kinabalu,” katanya.
Bagi wartawan Dayak Daily, Karen Bong, pengalaman pertama menjejak kaki ke puncak tertinggi di Asia Tenggara mencabar, namun amat berharga.
“Cuaca hujan dan basah serta berkabus di Low’s Peak Summit menyukarkan keadaan.
“Bagaimanapun, saya amat berpuas hati dapat sampai ke puncak. Misi ini bermakna lagi kerana ia sempena Hari Malaysia yang bakal disambut pada Sabtu ini,” jelasnya.
Sementara itu, bagi Debbie Amanda Padan, percubaan kali kedua untuk menuju ke puncak tidak memadam api semangat wartawan dari RTM Sarawak itu.
“Meskipun sedikit kecewa dengan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan, namun pengalaman ini tetap menjadi pengalaman yang berharga buat saya.
“Pada pendakian pertama saya yang dahulu, kami dah melepasi Pondok Sayat-sayat. Kali ini, kami hampir sampai ke puncak namun disebabkan keadaan hujan yang semakin lebat, kami diarahkan untuk berpatah balik bagi tujuan keselamatan,” ujarnya.
Terdahulu pada Selasa, kejadian hujan lebat berterusan di kawasan puncak Gunung Kinabalu sekitar jam 5:50 pagi telah mengakibatkan pembentukan dan aliran air deras di kilometer 7.2 dan kawasan Pondok Sayat.
Pengarah Taman Negara Sabah, Maklarin Lakim berkata, sebelum kejadian hujan, cuaca dilaporkan baik dan para pendaki dibenarkan untuk mendaki sekitar jam 2.30 pagi, hujan turun sebelum subuh.
Semua pendaki dilaporkan selamat dan dalam keadaan baik. – TVS