KUCHING, 14 Sept: Cadangan untuk membentangkan Sistem Ombudsman Sarawak pada November ini akan membolehkan laporan salah guna kuasa dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN), kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau yang juga Premier Sarawak berkata, langkah ini bertujuan untuk meningkatkan keyakinan rakyat.
Kata Abang Johari, Sarawak ingin memperkenalkan sistem yang tidak melaporkan secara terus kepada Premier bagi mengelakkan salah guna kuasa.
“Sekiranya A dinaikkan pangkat, A mungkin akan salah guna kuasa untuk menyoal pesaing. Begitu juga kalau pesaing diberikan kuasa, perkara sama berlaku, maka tidak berkesudahan, tentunya rakyat akan hilang keyakinan (terhadap pentadbiran kerajaan),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan Amanat Perdana Integriti di Majlis Amanat Perdana Integriti (MAP-i) 2023 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, hari ini.
Yang turut hadir, dua Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Dato Sri Dr. Sim Kui Hian serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, sistem itu akan mempunyai jawatankuasanya sendiri seperti Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) untuk menyiasat laporan dan individu yang didapati melakukan kesalahan akan menerima hukuman sewajarnya.
“Oleh itu, kita bertanggungjawab kepada rakyat dan bagi diri sendiri, saya bertanggungjawab terhadap Tuhan dan Sarawak,” katanya.
Perlaksanaanya juga kata Abang Johari akan menyebabkan rakyat mempunyai keyakinan terhadap pentadbiran kerajaan negeri manakala pelabur pula akan lebih tertarik untuk masuk ke Sarawak. -TVS