KUCHING, 14 Sept: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan perasaan terharu dan tersentuh dengan semangat dan kasih rakyat yang ditunjukkan semasa Kembara Kenali Borneo.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Mej Jen Datuk Zahari Mohd Ariffin berkata baginda berdua terharu apabila rakyat setia menanti di sepanjang jalan raya lokasi pengembaraan tanpa mengira penat lelah, ketika lewat malam serta keadaan cuaca panas terik dan hujan lebat.
“Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat negeri Sabah dan Sarawak atas sambutan sangat hebat yang telah diberikan kepada baginda berdua dan sekeluarga sepanjang pengembaraan menelusuri Lebuhraya Pan Borneo,” katanya dalam kenyataan Istana Negara hari ini.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan kerajaan negeri Sabah serta Sarawak atas segala bantuan dalam menjayakan program itu.
Program julung kali diadakan yang bermula di Tawau, Sabah pada 3 September lepas dan melabuhkan tirai di Telok Melano, Sematan, Sarawak semalam.
Kembara Kenali Borneo yang turut disertai anakanda-anakanda baginda berdua menempuhi perjalanan sejauh 2,154 kilometer menelusuri Lebuhraya Pan Borneo menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei, mendapat sambutan luar biasa daripada rakyat di kedua-dua negeri berkenaan.
“Sesungguhnya, segala pengalaman menyaksikan manifestasi kasih rakyat, semangat perpaduan, kepelbagaian budaya serta etnik dan keindahan lanskap semula jadi di kedua-dua negeri terpahat di hati Seri Paduka Baginda berdua dan sekeluarga sebagai kenangan manis yang tidak akan dapat dilupakan.
“Selain itu, Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sukacita kerana program Kembara Kenali Borneo itu juga telah memberi peluang untuk Baginda berdua mengeratkan lagi silaturahim antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak dan juga merealisasi semangat ‘Raja dan Rakyat Berpisah Tiada’,” katanya.
Seri Paduka Baginda berdua turut mendoakan semoga rakyat Sabah dan Sarawak kekal makmur, maju jaya dengan rakyatnya juga kekal hidup dengan semangat perpaduan, aman dan sentosa.
Bersempena dengan sambutan Hari Malaysia yang akan diraikan pada 16 September, Agong turut mengambil kesempatan menyeru seluruh rakyat menghayati dan menilai prinsip Rukun Negara yang merupakan asas kepada perpaduan nasional dan pembentukan identiti Bangsa Malaysia.
“Ini adalah kerana setiap lima teras prinsip Rukun Negara adalah formula bagaimana rakyat yang berbilang kaum, agama, budaya dan bahasa boleh mengatasi segala perbezaan dan kepelbagaian serta hidup secara rukun dan damai,” titah baginda.
Sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan akan diadakan di Stadium Perpaduan, Kuching pada Sabtu ini.
TVS akan menyiarkan siaran langsung sambutan berkenaan bermula 6 petang pada 16 September ini. Saksikan menerusi saluran 122 MYTV dan Astro, manakala menerusi media sosial TVS, TikTok Entertainment dan YouTube TVS Entertainment. – TVS